Fikirkanlah...

Teman-temanku sekalian,
mari kita sama-sama ambil sejenak untuk memikirkan tentang betapa beruntungnya kita-kita yang masih punya kedua-dua ibu bapa.

Saya tidak dapat menggambarkan hidup dalam masa persekolahan tanpa seorang ibu atau ayah. Tanpa disedari, kita sangat memerlukan kedua-dua mereka sebenarnya. Pernahkah kita terfikir bahwasanya ibu bapa kita boleh meninggalkan kita selama-lamanya bila-bila masa sahaja? Ajal di tangan Yang Maha Kuasa.

Bayangkan, anda berada di sekolah. Tiba-tiba, anda mendapat berita daripada guru anda yang ibu atau ayah anda baru sahaja meninggal dunia. Ini tidak mustahil.
Renungilah.

Bayangkan, anda tidur pada waktu malam dan pada keesokan harinya, anda kejutkan ibu atau ayah tetapi tiada respons. Ibu/ayah telah diseru Ilahi. Dapatkah anda menangani kehilangan itu? Apatah lagi pada zaman muda ini.

Ya Allah, tunjukkanlah kami ke jalan yang lurus....
Adakah kita bersyukur dengan secukupnya terhadap Tuhan yang telah menghidupkan ibu bapa kita ke saat ini?
Adakah kita menyayangi dan melayani kedua-dua mereka dengan cara yang telah diajar agama? Astaghfirullah.
Kita bertelingkah dengan mereka, melawan kekata mereka, membuat-buat muka kepada mereka. Betulkah perbuatan kita itu?
Dapatkah kita mengetepikan ego muda kita hanya untuk mengalah dan meminta maaf apabila terjadi pertelingkahan?
Sebaiknya mohonlah kemaafan daripada mereka. Kerana sesungguhnya jikalau mereka tidak memaafkan kita sebelum mereka meninggalkan kita, nescaya celakalah hidup kita ini. Na'udzubillah.

Hargai kedua-dua insan yang telah menjaga kita sejak kecil lagi. Yang bertungkus-lumus siang dan malam demi melihat kita membesar untuk menjadi seorang yang berguna.

Bacalah gambaran berikut yang harus dijadikan sebagai renungan:
"IBU BAPA MENJAGA KITA SEWAKTU KECIL UNTUK MELIHAT KITA MEMBESAR SEJAUH MUNGKIN. TETAPI APABILA KITA SUDAH BESAR, KITA MENJAGA MEREKA DENGAN PERASAAN "BILALAH ORANG TUA NI NAK MATI...."

Patutkah begitu? Na'uudzubillahi min dzaalik. Renungilah.
Titiskanlah air matamu apabila membayangkan kepergian mereka.
Sedikit sebanyak dapat ia membuat anda tersedar betapa anda memerlukan mereka.

Hingga ke lembaran yang seterusnya.
Assalamualaikum.

0 comments:

Post a Comment